Tun Mahathir Berkata Sekarang Ramai Sudah Senang Dan Lupa Betapa Susah Dulu. Mari Lihat Filem Pendek Terbaru Tun M

Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan kali ke-61, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad muncul dalam satu video yang mungkin membuatkan ramai rakyat Malaysia tersentak.

Semuanya gara-gara Jalur Gemilang yang sudah jarang dikibarkan rakyat pada bulan kemerdekaan.

Menjawab pertanyaan si cilik Aisyah yang bertanya mengapa Jalur Gemilang sudah kurang dikibarkan, Dr Mahathir dengan selamba berkata ramai rakyat Malaysia tidak lagi berbangga dengan kemerdekaan yang sudah dicapai ketika ini.

“Tapi kita kadang-kadang lupa menghargai kemerdekaan. Keadaan sudah berubah. Mereka sudah hidup senang-lenang. Seolah-olah kemerdekaan itu biasa sahaja.

“Sepatutnya kita lebih menghargai kemerdekaan kita kerana kemerdekaan kita memberi banyak kebaikan kepada kita,” katanya.

Video berdurasi 9 minit 26 saat itu mengisahkan Aisyah atau nama sebenarnya Tengku Zara Eryna, 6, yang tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menunjukkan semangat patriotiknya sempena ulang tahun kemerdekaan negara.

Namun akhirnya Aisyah mendapat idea untuk meraikan hari bersejarah itu selepas melihat sebuah kenderaan dipenuhi dengan Jalur Gemilang.

Aisyah kemudian pulang ke rumahnya dan memecah tabung simpanannya semata-mata untuk membeli Jalur Gemilang.

Dia memasukkan kesemua duit syiling simpanannya itu ke dalam beg galas menuju ke sebuah kedai dengan menaiki basikal bersama abangnya, Adam.

Di kedai itu, mereka menuang semua duit syiling tersebut dan memberitahu hasrat mahu membeli semua bendera yang terdapat di kedai itu.

“Aisyah nak semua bendera yang ada dalam kedai ini. Tak kisalah saiz apa pun,” katanya.

Kata-kata itu ternyata mengejutkan pemilik kedai yang bertanya apa yang ingin dilakukannya terhadap Jalur Gemilang yang banyak itu.

“Wah! Hang nak beli banyak buat apa? Ni dik. Kita bilang ini duit dulu. Kalau ada lebih kita bagi Tok Wan balik noh?,” kata pemilik kedai itu.

Sejurus selepas itu, Aisyah membawa beg berisi bendera manakala Adam menghiasi basikalnya dengan dua Jalur Gemilang.

Adik beradik itu kemudiannya memberikan Jalur Gemilang yang telah dibeli kepada beberapa peniaga di sebuah pasar basah, kedai runcit dan orang ramai di kampung mereka.

Dalam video tersebut, Aisyah turut meluahkan rasa gembira kerana akhirnya dapat mengibarkan Jalur Gemilang bersama rakan-rakannya pada bulan kemerdekaan.

Malah, Dr Mahathir turut berbangga dengan tindakan Aisyah dan Adam.

“Atok berbangga dengan perbuatan Adan dan Aishah memberi Jalur Gemilang kepada ramai orang,” katanya.

Video bertajuk Harapan Merdeka itu baharu sahaja dimuatnaik di YouTube pada Ahad lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *