Tuduhan Duit GST Dirompak Amat Berat Dan KJ Terus Buat Laporan Polis. Ini Janji Khairy Jamaluddin Apa Yang Akan Dia Buat Selepas Ini

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, hari ini membuat laporan polis terhadap dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa RM18 bilion wang tuntutan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang sepatutnya dibayar balik kepada peniaga, ‘dirompak’ oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, pada jam 2 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai membuat laporan itu, Khairy berkata laporan itu dibuat bagi memastikan siasatan lebih terperinci oleh pihak berkuasa selepas menyifatkan siasatan dalaman yang sedang dilakukan Kementerian Kewangan tidak mencukupi.

“Jika ia satu tuduhan melakukan rompakan, ia sudah menjadi satu kesalahan dan satu siasatan terbuka perlu dibuat.

“Ia satu tuduhan yang serius dan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya tanpa bukti yang kukuh, selain laporan polis, saya juga akan membuat laporan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) esok.

“Kami juga bagi pihak BN mahu membersihkan nama kerajaan yang lepas, sekiranya berlaku rompakan maka bawalah mereka yang terbabit ke muka pengadilan, sekiranya tidak maka perlu dijelaskan tuduhan tersebut tidak tepat dan tidak benar,” katanya.

Semalam, ketika membentangkan RUU GST (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Guan Eng berkata, kerajaan akan berusaha melunaskan tunggakan tuntutan cukai input bagi GST mulai tahun depan.

Katanya, tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST sejak 1 April 2015 hingga 31 Mei lalu berjumlah RM19.4 bilion.

Bagaimanapun, baki semasa dalam Tabung Bayaran Balik hanya RM1.49 bilion, bermakna berlaku kekurangan kira-kira RM18 bilion.

Guan Eng berkata, RM18 bilion itu dianggap sebagai hasil kerajaan tetapi digunakan untuk menutup defisit yang membawa kepada kekurangan berkenaan.

Susulan itu, satu siasatan dalaman giat dilakukan oleh Kementerian Kewangan bagi mengenal pasti punca pengurangan RM18 bilion itu. – (Sumber dan Kredit : Buletin Netizen)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *