Siti Kasim Bedal Dua Mufti

[video penuh ada di bawah]

Peguam dan aktivis masyarakat, Siti Kasim hari ini mencetuskan lebih banyak kontroversi dengan membidas dua mufti di negara ini dalam dua hantaran berasingan di Facebook.

Hantaran terbaru, kira-kira sejam lalu, membidas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang didakwa menyindir tuntutan kebebasan yang dituntut oleh komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa kebebasan yang dituntut oleh golongan itu “sebenarnya ialah kebebasan haiwan kerana kebebasan manusia mestilah dibatasi agama dan adat”.

Siti Kasim tidak mengulas panjang tetapi sekadar berkata beliau tidak mempercayai apa yang dibacanya itu sambil menyertakan keratan berita berkenaan.

“OMFG! Adakah dia cuba samakan komuniti LGBTIQ sebagai binatang? Susah nak percaya. WTF!” tulis peguam itu dalam bahasa Inggeris.

Sasaran kedua, Siti Kasim adalah Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa taasub terhadap beliau.

Ini susulan saranan Mohd Asri kepada Siti Kasim untuk berdialog secara terbuka berkaitan isu LGBT.

“Saya benar-benar rasa beliau taasub dengan diri saya. Kalau tidak masakan dia mengambil kira setiap apa yang saya katakan atau buat, betul?

“Sangat melucukan apabila seorang lelaki dengan kedudukannya khuatir tentang apa yang dikatakan oleh seorang wanita.

“Saya tertanya-tanya apa yang agak yang beliau risaukan?” kata Siti Kasim dalam hantaranya di Facebook beliau hari ini.

MAZAI really think this guy has a serious fascination with me… lol… otherwise he wouldn't be so worked up on…

Posted by Siti Kasim on Khamis, 9 Ogos 2018

Mohd Asri hari ini berkata, bahasa dan gaya yang dipertontonkan oleh Siti Kasim dalam isu LGBT sangat tidak matang dan janggal serta tidak menepati nilai budaya timur dan nusantara.

Beliau juga melahirkan kebimbangan jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak yang masih mentah.

Pada 8 Ogos lalu, selaras dengan tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Farizan Darus yang mengarahkan George Town Festival menurunkan gambar yang menampilkan dua orang aktivis LGBT – Nisha Ayub dan Pang Khee Teik – Siti Kassim juga meminta potretnya diturunkan.

Beliau turut membidas kerajaan Pakatan Harapan yang menurutnya sebagai tidak ada beza dengan kerajaan BN sebelum ini. Malah katanya, rakyat telah mengundi “closet Islamofascists”.

Sambil menyelar mereka yang mengarahkan supaya gambar aktivis LGBT itu diturunkan, peguam itu berkata, pemimpin tidak seharusnya tunduk kepada mereka yang taasub dan fasis. – Malaysiakini

Video

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *