Serangan ‘kem rafizi’ melampau! Giliran Azmin Ali buka mulut ‘sound’ Abdullah Sani

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada lembaga disiplin PKR dan Pakatan Harapan untuk melihat tindakan yang wajar diambil terhadap “kem Rafizi”.

Timbalan presiden PKR itu berkata serangan peribadi terhadap pemimpin parti dan gabungan itu melampaui masalah disiplin semata-mata.

“Ini isu kewibawaan seseorang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin dalam mana-mana parti,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen hari ini.

Azmin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani yang baru-baru ini menuduh ketua penasihat Putrajaya di belakang kempen menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Abdullah berkata dia boleh membuktikan dakwaan itu tetapi meminta media mengikuti programnya bertemu ahli-ahli parti di negeri-negeri menjelang pemilihan parti 2018.

Terdahulu Abdullah dilaporkan mendakwa Anwar akan berdepan masalah mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir jika Rafizi gagal menewaskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

Sementara itu, mengulas laporan media tentang teguran Perdana Menteri Dr Mahathir semalam kepada para wakil rakyat PH meminta mereka menjaga disiplin demi kestabilan kerajaan, Azmin menyeru semua pihak menggalas nasihat itu.

Dr Mahathir dilaporkan menegur sikap para wakil rakyat yang berkelakuan seperti pembangkang dan meminta mereka supaya mengawal sebarang pertelingkahan dalaman.

Azmin berkata PH harus menyuburkan budaya bekerja secara kolektif “sebagai sebuah kerajaan” berbanding sebagai gerakan pembangkang dan tumpu pada kerangka besar gabungan itu.

“Saya ajak semua pimpinan dan anggota meletak agenda besar ini mengatasi kepentingan individu, kelompok dan peribadi mana-mana pihak,” katanya.

Sumber : Malaysia Gazette & FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *