Pihak Kastam Malaysia Mengesahkan Bayaran Balik GST Kurang RM19b

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengakui tuntutan bayaran balik GST sebanyak RM82.9 bilion tidak dibayar sepenuhnya.

Sebaliknya, kata ketua pengarahnya, T Subromaniam, dari April 2015 hingga penghujung Mei 2018, hanya RM63.9 bilion bayaran yang telah dipindahkan.

“JKDM ada menuntut RM82.9 bilion daripada Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan ini untuk tujuan pembayaran balik GST dalam tempoh 1 April 2015 sehingga 31 Mei 2018 tetapi jumlah penuh tidak dipindahkan kepada Tabung Amanah.

“Oleh itu, pada 31 Mei 2018, Tabung Amanah masih memerlukan dan mengalami kekurangan untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST sebanyak RM19.4 bilion,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat Tabung Amanah Bulanan berkenaan, tambahnya, dipengerusikan oleh ketua setiausaha perbendaharaan negara.

Kenyataan itu dibuat dua hari selepas Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendakwa bahawa RM18 bilion daripada RM19.4 bilion bayaran balik GST ‘dirompak’ pentadbiran kerajaan BN.

VIDEO: RM18b wang GST ‘dirompak’ dibawa ke PAC

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan negara Tan Sri Irwan Serigar Abdullah menafikan sebarang dana diseleweng dan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pagi ini. – Malaysiakini

Berita Terdahulu – MUNGKIN KERAJAAN HARAPAN SUDAH BELANJA WANG GST RM18 BILION – NAJIB

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mungkin sudah membelanjakan RM18 bilion wang pembayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Najib berkata, dakwaan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa BN merompak wang tuntutan GST adalah tidak berasas sama sekali.

Ini kerana katanya, seperti kutipan cukai dan pendapatan lain, kesemua kutipan GST dibayar terus ke dalam Kumpulan Wang Amanah Disatukan kerajaan.

Dari situ, katanya, dana dibayar ke akaun amanah tuntutan GST setiap bulan bagi memenuhi keperluan pembayaran tuntutan secara berterusan.

“Ini dibenarkan oleh undang-undang dan memenuhi peruntukan Akta GST 2014, yang dibentangkan di Parlimen di mana pemimpin HARAPAN juga hadir termasuk Guan Eng sendiri, maka sudah tentu beliau tahu,” kata Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru, kata Najib tiada wang atau dana ‘dirompak’ kerana kesemua kutipan GST dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan.

“Oleh kerana kerajaan HARAPAN kehilangan pendapatan bagi tiga bulan apabila GST disifarkan dan SST belum lagi dilaksanakan, kerajaan HARAPAN mungkin sudah membelanjakan wang dalam akaun Kumpulan Wang Amanah Disatukan yang sepatutnya digunakan untuk disalurkan kepada akaun amanah tuntutan GST bagi menampung perbelanjaan bulanan kerajaan.

“Akibatnya, kerajaan HARAPAN mengalami kesukaran untuk membayar tuntutan-tuntutan GST yang begitu banyak dan dibuat sekali gus dan memerlukan seseorang untuk dipersalahkan.

“Sebagaimana biasa, kesalahan itu dituding ke arah kerajaan BN walaupun ia adalah kesilapan kerajaan HARAPAN sendiri,” katanya.

Bagaimanapun Najib berkata beliau bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku bekas Menteri Kewangan.

“Jika dakwaan ini didapati tidak benar, maka Lim Guan Eng telah memperdaya Parlimen ketika beliau membuat tuduhan serius itu.

“Apabila itu berlaku, saya amat berharap Speaker Dewan Rakyat tidak lagi melindungi Lim Guan Eng kerana dewan yang mulia itu bukanlah tempat atau ruang bagi membuat dakwaan tidak berasas dan tuduhan yang bermotifkan politik,” katanya.

Ketika membentangkan RUU Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Mansuh) 2018 Selasa lalu, Lim mendedahkan audit dalaman Jabatan Kastam mendapati tabung bayaran balik GST kekurangan hampir RM18 bilion.

VIDEO: ”Ludah Ke Langit, Akhirnya Jatuh Ke Muka Sendiri” – PEDAS Lim Guan Eng Hentam Ahmad Maslan

Beliau mendakwa kerajaan BN memalsukan akaun dan menyalahgunakan dana dalam akaun bayaran balik GST untuk menutup defisit dasar kewangan kerajaan.

Bagaimanapun, Lim enggan mengaitkan perkara itu dengan Najib, sebaliknya berkata bekas setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah pasti “tahu” mengenainya.

Irwan menafikan dakwaan bahawa kerajaan BN telah merompak bayaran balik GST dan membuat laporan kepada SPRM pagi ini. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *