Perlawanan Bola Sepak Malaysia Menentang UAE Dicemari Dengan Aksi Kungfu

SHAH ALAM: Insiden pergaduhan pemain mencemari kemenangan 2-0 skuad Bawah 23 (B-23) ke atas Emiriah Arab Bersatu pada aksi persahabatan terakhir di Stadium Shah Alam malam tadi.

Insiden itu berlaku di tengah padang selepas terdapat pemain UAE tidak berpuas hati dengan pemain negara sebelum ia merebak keseluruh pemain termasuk di bangku simpanan.

Bagaimanapun, sepanjang perlawanan, ada petanda positif yang dijelmakan pemain Datuk Ong Kim Swee sebelum ke Indonesia Isnin ini bagi menghadapi Sukan Asia.

Tidak hanya kemenangan yang jadi topik utama, daripada aksi yang dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee wajar mendapat pujian ketika langsung tidak menunjukkan rasa gerun terhadap lawan yang memiliki nama lebih gah di pentas bola sepak Asia.

Sebelum ini, Kim Swee kehilangan beberapa nama seperti Matthew Davies, Nor Azam Azih, Aidil Zafuan Abdul Radzak dan juga Jafri Firdaus Chew.

Jika prestasi sama mampu dijelmakan dalam perlawanan sebenar, tidak mustahil kejutan mampu dilakar skuad B-23 seperti dilakukan pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 di China awal tahun lalu apabila lakar kejayaan mara ke suku akhir.

Terdahulu, skuad Datuk Ong Kim Swee tampil selesa dengan menguasai permainan namun terpaksa menunggu sehingga minit ke-27 untuk memperoleh gol pendahuluan menerusi Safawi Rasid.

Minit ke-39, skuad negara berdepan situasi cemas apabila penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim keluar daripada posisinya dan gagal mengeluarkan bola dengan baik namun penyerang UAE, Zayadel Ameri gagal memanfaatkan peluang terhidang dengan baik.

Selang seminit selepas itu, Safawi meraih peluang terbaik menambah jaringan tetapi pertahanan lawan, Ismael Khalid Khamis nyata lebih pantas untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Bersambung babak kedua, UAE tampil lebih baik berbanding 45 minit pertama apabila dilihat lebih tersusun dalam setiap gerakan yang diatur sebaliknya benteng negara lebih berdisiplin mengekang serangan diatur lawan.

Minit ke-64, tonggak negara, gerakan solo menarik Mohammad Akhyar Abdul Rashid sekali lagi menceriakan kem negara apabila tenang melakukan sentuhan penyudah untuk menggegar gawang UAE buat kali kedua.

Ketika aksi hampir tamat, pergaduhan tercetus dalam masa kecederaan membabitkan pemain kedua-dua pasukan.

VIDEO

Sorry sight at the end of Malaysia U23 v UAE U23

Posted by Goal Malaysia on Jumaat, 10 Ogos 2018

Kim Swee Sudah Jangka UAE Akan Cetuskan Pergaduhan

Perlawanan persahabatan antara pasukan Bawah 23 (B-23) tahun negara dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam di sini malam ini dicemari insiden pergaduhan melibatkan pemain kedua-dua pasukan serta pegawai UAE.

Insiden berlaku di tengah padang pada penghujung perlawanan ketika Malaysia mendahului 2-0 dan bermula apabila beberapa pemain serta pegawai UAE bertindak menyerang pemain kebangsaan, dipercayai berpunca daripada beberapa kekasaran yang dilakukan oleh pemain kedua-dua pasukan sebelum itu.

Pergaduhan itu berjaya dikawal oleh anggota keselamatan kira-kira dua minit kemudian.

Mengulas insiden itu pada sidang media selepas perlawanan, ketua jurulatih B-23 negara Datuk Ong Kim Swee berkata pergaduhan tersebut sememangnya dapat dijangka kerana menjadi kebiasaan pasukan UAE atau mana-mana pasukan dari Timur Tengah melakukan provokasi terhadap pasukan lawan apabila mereka ketinggalan.

“UAE merupakan pasukan yang berada di ranking lebih tinggi daripada kita, mereka tidak biasa ketinggalan, keadaan ini, provokasi sememangnya saya sudah jangka,” katanya.

Beliau berkata insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan kepada pemain negara dan berharap kejadian serupa tidak berulang pada Sukan Asia 2018 di Indonesia yang bermula pertengahan bulan ini.

“Pemain perlu lebih pandai mengawal emosi mereka bila berhadapan dengan provokasi daripada pihak lawan, jika insiden ini berlaku semasa di Sukan Asia nanti ia akan merugikan kita,” katanya.

Pada Sukan Asia nanti anak buah Kim Swee diletakkan dalam Kumpulan E bersama-sama Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan manakala UAE pula dalam Kumpulan C dengan China, Timor Leste dan Syria.

Pada perlawanan malam ini Malaysia mengatasi UAE 2-0 hasil jaringan Safawi Rasid pada minit ke-27 dan Akhyar Abdul Rashid pada minit ke-64. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *