Maut Dipatuk Ular Tedung Ketika Memancing

KOTA TINGGI: Seorang lelaki meninggal dunia dipercayai akibat dipatuk ular tedung selar ketika memancing di sungai di kebun kelapa sawit FELDA Linggiu, di sini, semalam.

Mayat Jayalani Abu Samah, 45, ditemui kira-kira 9 malam tadi oleh adik dan anak saudara yang mencarinya di kebun berkenaan selepas tidak pulang ke rumah.

Adiknya, Mohammad Zaidi, 36, berkata pada awalnya mereka menyangka abangnya itu meninggal dunia akibat asma sebelum menjumpai kesan gigitan ular di bawah telinga kiri mangsa.

Katanya, Jayalani yang bekerja sebagai pemandu van kilang memang gemar keluar memancing di kebun seorang diri terutama pada hari cuti.

“Selalunya dia pulang pada jam 5 petang atau sebelum hari gelap apabila keluar memancing. Sebaliknya semalam, dia tidak balik ke rumah selepas keluar antara jam 2 petang dan 8 malam,” katanya.

Mohammad Zaidi berkata ibunya yang khuatir, menyuruh adiknya dan seorang anak saudara keluar mencari mangsa sebelum menemui mayat berhampiran motosikalnya.

“Kemungkinan besar ketika dipatuk ular itu, abang sudah bersiap-siap untuk balik kerana barangnya sudah dikemas. Abang memang ada sakit asma, namun, setiap kali keluar memancing, dia akan bawa ubat bersama,” katanya.

Menurutnya, arwah yang belum berkahwin adalah anak ketiga daripada 10 beradik dan merupakan seorang anak serta abang yang baik bukan saja kepada keluarganya, bahkan kepada penduduk di Felda itu.

Katanya, kejadian yang menimpa Allahyarham diharap dijadikan iktibar orang ramai agar lebih berwaspada terhadap haiwan berbisa itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut

Sumber: FB JB TRAFFIC REPORT

VIDEO BERKENAAN KES MAUT DI PATUK ULAR

Kredit Youtube: Sinar TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *