Kecewa Permohonan Ditolak – Mejar (B) Zaidi

Mejar (B) Zaidi Ahmad, yang dipecat daripada angkatan tentera tiga (3) tahun lalu, menyuarakan kekecewaan selepas selepas kerajaan menolak permohonannya agar jawatannya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dikembalikan atau beliau dibayar pencen.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai pegawai penerangan pejabat ketua menteri Pulau Pinang hari ini berkata, Majlis Angkatan Tentera memberitahunya bahawa beliau tidak layak mendapat tuntutan itu kerana dipecat daripada tugas.

“Saya akan jumpa mereka di hari pengadilan,” katanya kepada Malaysiakini.

“Saya tidak mahu ulas panjang tentang keputusan itu tetapi saya mahu ingatkan pemimpin HARAPAN agar tidak lupa, mereka kini sudah menjadi menteri, gembira dan boleh menikmati kemewahan.

“Jangan lupa rakyat yang berjuang dan mengangkat anda ke kedudukan sekarang, kerana rakyat yang sama juga boleh jatuhkan anda,” katanya lagi.

Beliau membuat permohonan itu Mei lalu kepada Mohamad Sabu yang ketika itu baru menjadi menteri pertahanan.

Dalam permohonannya, Zaidi meminta agar pencennya dikembalikan atau beliau dimasukkan semula dalam TUDM atas asas dirinya sebagai juruterbang berpengalaman yang “dipaksa” melepaskan jawatan oleh kerajaan BN.

Mohamad berkata akan mengkaji permohonan itu dan akan mengambil tindakan jika perlu.

Malaysiakini sudah menghubungi Mohamad dan menunggu maklum balasnya.

Zaidi dipecat pada 12 Januari 2015 selepas mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung isu dakwat kekal.

Beliau membuat laporan polis ketika PRU 2013, dan tindakan itu dianggap bertentangan dengan etika kerjanya. – Malaysiakini

Artikel Terdahulu

Mejar Zaidi minta bantuan menteri pertahanan

Mejar (B) Zaidi Ahmad, yang dipecat daripada angkatan tentera tiga tahun lalu meminta pertolongan dari Kementerian Pertahanan supaya mengembalikan semula jawatannya atau beliau dibayar pencen.

Menurut Zaidi, kerajaan sekarang boleh mengisytiharkan penamatannya daripada perkhidmatan tentera sebagai “haram dan bermotivasi politik.”

“Kerajaan juga boleh mengembalikan jawatan saya sebagai juruterbang dengan kedudukan sebagai lettenan kolonel bersama Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia.

“Kementerian Pertahanan juga boleh meluluskan pencen saya dan sebarang ganjaran untuk perkhidmatan saya selama 26 tahun dengan TUDM,” katanya semalam selepas menyerahkan surat rasmi kepada Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Salinan surat itu juga dihantar kepada Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Mohamad berkata beliau akan mengkaji kes Zaidi dan mengambil tindakan jika perlu.

“Saya baru saja masuk ke pejabat saya, tolong berikan saya sedikit masa untuk mengkaji kes Zaidi,” katanya ketika ditanya mengenai perkara itu sebelum acara berbuka puasa di Tasek Gelugor semalam.

Zaidi dipecat dari tugasnya oleh mahkamah tentera TUDM pada tahun 2015 selepas beliau mencabar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai isu dakwat kekal.

Beliau membuat laporan polis semasa pilihan raya umum 2013, yang dianggap melanggar etika kerja beliau. – Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *