Gara gara bau durian semerbak disangka gas bocor di sebuah Universiti, satu bangunan terpaksa dikosongkan

Bagi kita khususnya masyarakat di Asia Tenggara, bau durian dianggap bau yang sangat memberi kenikmatan. Bagaimanapun, durian tidak begitu diterima di sesetengah negara khususnya di kawasan umum disebabkan oleh baunya yang kuat.

Sebagai contoh, negara Thailand, Jepun, Hong Kong dan Singapura telah menetapkan larangan untuk membawa ‘Raja Buah’ ini ke dalam mana-mana pengangkutan awam.

Namun baru-baru ini, berlakunya satu kes yang agak melucukan melibatkan durian sehingga memaksa ratusan pelajar dan guru dipindahkan!

Beberapa hari lalu iaitu pada 28 April, satu bangunan dalam sebuah universiti di Melbourne, Australia terpaksa dikosongkan gara-gara terdapat satu bau yang ‘aneh’ bagi majoriti mat salleh.

Dikatakan bau durian yang membusuk itu begitu kuat sehingga membuatkan ramai pelajar dan guru menyangkakan ianya adalah bau daripada kebocoran gas.

Menurut laporan The Sydney Morning Herald, pihak bomba dan penyelamat telah menerima aduan berkenaan bau tersebut lantas segera mengerahkan anggotanya ke Perpustakaan RMIT untuk menjalankan pemeriksaan.

Di samping itu, bangunan berkenaan juga dilaporkan menjadi tempat penyimpanan beberapa bahan kimia berbahaya sekali gus menyebabkan kesemua pelajar dan guru yang berada di dalam bangunan tersebut harus dipindahkan.

Sekitar 500 individu telah dibawa keluar oleh pasukan bomba sebagai langkah keselamatan sementara siasatan dijalankan.

Bagaimanapun, setelah pemeriksaan dijalankan, didapati bau ‘gas bocor’ yang disangkakan ramai itu sebenarnya adalah bau durian yang telah busuk. Durian berkenaan dikatakan telah ditinggalkan di dalam almari bangunan tersebut.

Berdasarkan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Metropolitan, bau tersebut telah merebak ke seluruh bangunan melalui sistem pengudaraan.

Setelah siasatan dan pemeriksaan selesai, bangunan tersebut dibuka semula sekitar jam enam petang sementara tugas membuang dan menghapuskan sisa durian berkenaan telah diambil alih oleh Badan Perlindungan Alam Sekitar.

Sumber: SAYS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *