“Edit? Dah Pakar Dah” – Kazar Ambil Masa Kurang Sejam Untuk ‘Bergambar’ Dengan J.Lo

Penyanyi, pelakon dan pelawak otai, Kazar Saisi mengakui dia mengambil masa kurang sejam untuk menyunting gambar bersama Jennifer Lopez.

Meneliti entri laman sosial Instagram milik Kazar, pelakon berusia 59 tahun ini sering menyunting gambarnya bersama J.Lo dan pemain bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo.

“Selalunya saya ambil masa kurang satu jam untuk menyunting foto terbabit. Saya menggunakan pen yang dikhaskan untuk telefon bimbit.

“Pengikut saya pun suka melihat foto-foto itu. Kadang-kadang, saya rasa macam pakar ‘edit’ gambar pun ada,” seloroh Kazar sambil ketawa.

Tidak hanya memuat naik foto yang kelihatan asli, Kazar juga selalu meletakkan ayat-ayat lucu yang menggeletek hati peminatnya sebagai kapsyen gambar.

“Saya pernah cuba untuk menyunting gambar saya dengan selebriti lain, tapi hasilnya tak sama,” kata Kazar ketika ditemui di majlis pelancaran supertelefilem Budak Kripto baru-baru ini.

Karya tersebut bakal mendapat sentuhan pengarah berpengalaman, Din CJ yang pernah menempa populariti menerusi drama bersiri Cinderella lakonan Ahmad Idham dan Haliza Misbun.

“Ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon bawah arahan Din CJ. Karakter yang saya bawakan hanyalah sekadar watak kecil sahaja.

“Namun begitu, saya tetap mengambil serius untuk memikul tanggungjawab yang diberikan. Sebagai seorang anak seni, biarpun watak yang saya dapat kecil, saya harus berikan mutu lakonan sehabis baik,” katanya lagi.

Selain Kazar, karya yang sedang menjalani penggambaran bermula 25 April lalu di sekitar Perak menampilkan pelakon lain seperti Fahrin Ahmad, Liza Abdullah, Afifah Nasir, Accapan, Mamat Khalid dan diterajui oleh dua bakat baru, Zam Azmi dan Nurul Hida.

Antara sebahagian koleksi gambar yang diedit Kazar:

 

Akhirnyaa….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *