‘Dulu main kejar-kejar, sekarang suami isteri’

KUALA LUMPUR: Perkenalan sejak zaman kanak-kanak akhirnya menyatukan Dayah Bakar dengan pegawai tentera berpangkat kapten, Muhammad Hanif Hamidi hingga mereka sah bergelar suami isteri, pada jam 9.38 pagi tadi.

Dengan sekali lafaz, Dayah atau nama sebenarnya, Nurhidayah Abu Bakar menjadi milik mutlak Hanif pada majlis ijabkabul di premis acara, 9Kedondong, di sini.

Pasangan ini dinikahkan bapa penyanyi dan pengacara itu sendiri.

Dayah menerima tujuh dulang berbalas sembilan dulang daripada pihak pengantin lelaki. Dayah juga menerima mas kahwin bernilai RM300. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

DAYAH Bakar bersama suami, Muhammad Hanif Hamidi pada majlis Akad Nikahnya di Sembilan Kedondong, Ampang Hilir. – Foto Nurul Syazana Rose Razman

“Alhamdulillah segala galanya dipermudahkan. Semoga keberkatan Syawal ini akan menjadi permulaan baik untuk kami, ” kata Dayah sebaik selesai majlis pernikahan.

Sebagai simbolik hari bahagia mereka, wanita berusia 29 ini turut mencipta lagu berjudul Imamku. Dendangan itu diciptanya kira-kira empat tahun lalu dan baru dilancarkan.

“Lagu ini menceritakan impian seorang gadis untuk dipertemukan dengan lelaki yang mahu membimbingnya ke jalan kebaikan.

“Lagu itu menggambarkan perasaan saya yang ketika itu menghitung hari untuk diijabkabulkan.

“Imamku cukup istimewa kerana bercerita mengenai harapan semua wanita untuk bertemu cinta sejati dengan lelaki yang bersifat pemimpin,” kata Dayah.

Pernah mengendalikan program bual bicara, Nasi Lemak Kopi O dan Hijabista di TV9, Dayah berkata, perkenalannya dengan lelaki seusianya itu bermula ketika mereka belajar di sebuah sekolah di Seremban, Negeri Sembilan.

“Kebetulan, rumah kami berdekatan dan dia antara teman sepermainan saya ketika kecil. Kami mempunyai personaliti berbeza. Berbanding saya yang banyak bercakap, Hanif pula lebih pendiam,” katanya.

Selepas acara akad nikah, pasangan ini akan diraikan pada majlis persandingan di Ampang, Selangor, lusa.

Majlis bertandang akan diadakan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, pada 7 Julai depan.

VIDEO:

sumber: bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *