Disangkakan mengaji rupanya ‘memancing’

Mengaji konon…

IPOH: Seorang lelaki yang baru ‘memancing’ duit tabung di Masjid Al Ansar di Bandar Meru Raya, di sini, hari ini, berpura-pura mengaji al-Quran sebaik menyedari kehadiran polis di masjid berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun berkenaan bagaimanapun gagal mengaburi pihak berkuasa susulan perbuatannya mencuri duit tabung disedari pengurusan masjid melalui kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya mendapat maklumat melalui panggilan telefon daripada pengurusan masjid memaklumkan kegiatan jenayah itu.

“Pihak masjid memberitahu melalui pengawasan CCTV terdapat lelaki yang masuk ke kawasan masjid dan mencuri duit tabung.

“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota Balai Polis Jelapang ke masjid terbabit dan sebaik sampai mendapati seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan berkain pelikat sedang duduk di kaki lima masjid bersebelahan tabung.

“Lelaki berkenaan dipercayai berpura-pura mengaji al-Quran dan sebaik pemeriksaan dilakukan, polis menemui wang tunai dalam poket baju sebanyak RM160,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ali berkata, pemeriksaan lanjut menemui dalam lipatan kain pelikatnya terdapat empat tali kabel yang terdapat pelekat di hujungnya.

“Kabel berkenaan dipercayai digunakan untuk memancing duit tabung masjid dan suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.

“Terdapat CCTV yang merakam kejadian itu dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

 

Sumber: IRDK

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *