Berjumpa Tidak Bermakna Bersetuju. ini Sebenarnya Maksud Perjumpaan Dr. Mujahid Bersama Nisha Ayub

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa menegaskan pertemuan beliau bersama aktivis transgender Nisha Ayub semalam tidak bermakna beliau bersetuju dengan perjuangan mahupun menerima perbuatan golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Dr. Mujahid berkata, Nisha telah menghubunginya untuk mengadakan pertemuan tersebut dan beliau menerima kehadiran Nisha dengan ikhlas. Ini kerana isu berkaitan transgender perlu diselami serta difahami khususnya yang berkaitan dengan peranan institusi agama bagi menangani fenomena tersebut.

Menurut Dr. Mujahid, pada pertemuan semalam Nisha menegaskan beliau bukan ikon bagi komuniti LGBT sebaliknya hanya seorang aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan serta memberi galakan agar mereka keluar daripada ‘industri seks’.

“Pada pertemuan semalam juga, tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus,” kata Dr. Mujahid dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Mujahid berkata, apa yang paling utama ketika ini ialah masyarakat perlu menghapuskan budaya benci dan diskriminasi kepada komuniti transgender terutama di tempat kerja mahupun di tempat-tempat awam.

KENYATAAN MEDIABERTEMU TIDAK BERMAKNA BERSETUJU1. Merujuk kepada pertemuan saya bersama aktivis transgender Nisha…

Posted by Dr Mujahid Yusof Rawa on Jumaat, 10 Ogos 2018

Tegas Dr. Mujahid, masyarakat tidak boleh mengamalkan dasar pilih kasih dalam menjalankan kerja-kerja dakwah malah Islam juga tidak mengalakkan umatnya untuk menyakiti manusia yang lain. Hak golongan transgender sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan.- SUMBER : Utusan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *