10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Mencipta rekod dunia bukanlah suatu perkara mudah. Mempunyai bakat semulajadi sahaja tidak cukup. Mana tidaknya, ada yang sanggup melakukan perkara pelik dan tak masuk akal sehingga mengancam nyawa. Iluminasi.com membawa anda 10 percubaan rekod dunia yang berakhir dengan kematian.

10. Aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Pelakon lagak ngeri dari India, Sailendra Nath Roy merupakan pemegang 2 rekod dunia Guinness World Records yang berkaitan dengan rambut. Pada tahun 2011, menerusi aksi flying-fox, dia berjalan sejauh 82.5 meter di atas wayar yang diikat dengan rambut ekor kudanya.

Pada tahun 2012, dia menarik pula sebuah enjin dan empat gerabak kereta api warisan Darjeeling Himalayan Railway dengan rambutnya sepanjang 2.5 meter.

Tidak puas dengan rekodnya itu, Roy mahu memperbaiki rekod sulungnya. Aksi kali ini lebih berbahaya, iaitu menyeberangi Sungai Teesta sejauh 180 meter. Pada Ogos 2013, rambut Roy tersangkut pada wayar ketika separuh perjalanan.

Beliau berjaya dibawa turun oleh penduduk tempatan 45 minit kemudian. Tetapi, dia disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

9. Terjunan bebas

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Semasa perang dingin, Nick Piantanida dari Amerika Syarikat mahu mengatasi rekod dunia oleh angkasawan dari Rusia, untuk terjunan bebas pada ketinggian 24,500 meter dari permukaan laut. Pada Mei 1966, Piantanida terbang sehingga ketinggian 36,000 meter dan memulakan lompatan dari pesawatnya.

Malang tidak berbau, selepas 17,000 meter, suit khasnya mengalami gangguan tekanan udara. Menyedari bahaya yang sedang menanti, bilik kawalan Amerika melepaskan payung terjunnya lebih awal. Sebaik sampai ke tanah, kekurangan oksigen menyebabkan Piantanida mengalami kerosakan otak kekal dan koma. Beliau meninggal dunia empat bulan kemudian.

8. Manusia terpantas dalam sejarah

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Asalnya seorang jurutera lombong, Lowell Bayles meraih populariti pada lewat 1920-an sebagai juruterbang lagak ngeri. Dia selalu membuat persembahan di seluruh Amerika Syarikat. Ketika acara National Air Races pada tahun 1931, Bayles cuba memecahkan rekod rasmi bagi “World Landplane Speed Record”.

Kelajuan Bayles ketika itu menghampiri 482 km/j, sewaktu bencana melanda. Penutup bahan api pesawatnya tiba-tiba longgar, terbang melalui cermin depan dan terkena pada Bayles sehingga dia pengsan. Pesawat itu kemudiannya terhempas dan dijilat api yang besar. Mayat Bayles tercampak hampir 100 meter dari kokpit.

7. Rekod kelajuan di air

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Pada tahun 1964, warga Inggeris, Donald Campbell merupakan satu-satunya individu yang memegang rekod kelajuan di darat dan air. Tidak berpuas hati dengan pencapaian itu, pada tahun 1967, dia cuba untuk mengatasi rekod kelajuan di air miliknya. Ketika bot berkuasa jet itu hampir memecah rekod 480 km/j, perkara yang tidak diingini tiba-tiba berlaku.

Bot itu terangkat seketika ke udara, kemudian membanting Campbell ke dalam air dengan daya yang kuat. Beliau serta-merta disahkan tidak bernyawa. Lebih menyayat hati, mayatnya hanya dijumpai 34 tahun kemudian. Orang ramai membuat hipotesis bahawa nahas itu dapat dielakkan. Ia dikatakan berpunca dari bot itu yang terlalu ringan, akibat kekurangan bahan api.

6. Ditanam hidup-hidup

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Tiada rekod rasmi bagi tempoh paling lama manusia ditanam hidup-hidup. Maka, Janaka Basnayake iaitu seorang ahli silap mata berusia 24 tahun dari Sri Lanka, buat julung kalinya mahu menetapkan rekod itu.

Pada 2012, beliau menyuruh beberapa rakan untuk menanamnya dalam sebuah lubang sedalam 3 meter. Selepas 7 jam setengah, Basnayake digali semula. Apa yang mengejutkan, beliau didapati tidak lagi bernafas akibat lemas. Basnayake diberikan bantuan CPR, sebelum dibawa ke hospital. Beberapa jam kemudian, beliau disahkan meninggal dunia.

5. Terjunan udara berkumpulan terbesar

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Pada 2014, seramai 222 orang terjun dari ketinggian 6,000 meter untuk menyertai pembentukan terjun udara terbesar di dunia. Percubaan itu bercita-cita mengatasi rekod terdahulu, iaitu seramai 110 orang. Namun, malapetaka berlaku apabila payung terjun salah seorang dari mereka, Diana Paris gagal untuk dibuka.

Payung sokongan hanya berfungsi apabila beliau sudah terlalu dekat dengan tanah. Paris yang berusia 46 tahun, merupakan penerjun udara berpengalaman, dengan pencapaian sebanyak 1,500 terjunan. Setelah diberi bantuan kecemasan, beliau disahkan mati di tempat kejadian.

4. Festival belon

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Bagi menjayakan sebuah gimik, sejumlah 1.4 juta belon helium dilepaskan secara serentak ke langit Cleveland, Ohio. Namun, acara pada 1986 itu bertukar tragedi dan menyebabkan kerugian jutaan dolar. Secara kebetulan, ketika itu terdapat dua nelayan yang lemas setelah bot dinaiki mereka terbalik.

Paling tragik sekali, helikopter kecemasan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tidak dapat terbang melalui langit yang dipenuhi dengan belon. Malah, mereka sukar mencari mangsa, kerana tidak dapat membezakan antara kepala manusia dan jutaan belon yang terapung.

3. Penyelaman laut dalam

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Rekod dunia penyelaman paling dalam tanpa fin atau tabung oksigen ialah 124 meter. Mengejutkan bukan? Pada 2013, Nicholas Mevoli (32 tahun) berhasrat untuk menewaskan rekod itu, sekaligus menjadi rakyat Amerika pertama yang melepasi kedalaman 100 meter.

Penonton menunggu dengan penuh bimbang sebaik Mevoli berada di dalam air selama 3 minit dan 38 saat. Ketika itu, beliau baru sahaja mencapai kedalaman 74 meter. Sebaik muncul kembali ke permukaan, Mevoli kelihatan seperti biasa. Namun, dia pengsan tidak lama selepas diberikan CPR selama 90 minit. Malangnya, Mevoli disahkan menemui ajal.

2. Mengelilingi dunia dalam 30 hari

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Pada 2014, pasangan bapa dan anak, Babar dan Haris Suleman cuba memecahkan rekod mengelilingi dunia dalam sebuah kapal terbang enjin tunggal. Apa yang mengagumkan, misi mereka itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu pendidikan kanak-kanak Pakistan.

Mengikut perancangan, mereka hanya akan mendarat 25 kali bagi mengisi bahan api. Perjalanan 43,000 km itu dijangka dapat dilakukan dalam tempoh 30 hari. Tragis sekali, bencana melanda dan juruterbang berusia 17 tahun itu hilang kawalan, lalu terjunam ke Lautan Pasifik. Nahas itu mengorbankan kedua anak-beranak itu. Mayat Babar tidak ditemui sehingga kini.

1. Lompatan motosikal

10 Cubaan Rekod Dunia Yang Berakhir Dengan Kematian!.

Pada 2005, Javad Palizbanian, pelakon lagak ngeri dari Iran, 44 tahun, cuba mencatat rekod dunia untuk melompat menggunakan motorsikal ke atas bilangan bas yang paling banyak. Pada 1975, Evel Knievel memegang rekod ini dengan lompatan sejauh 40 meter ke atas sejumlah 14 bas. Pada 1999 pula, Bubba Blackwell mengatasi rekod itu, setelah berjaya melompat ke atas 15 bas.

Percubaan Palizbanian jauh lebih bercita-cita tinggi, dengan sasaran lompatan ke atas 22 bas, bersamaan dengan jarak kira-kira 63 meter. Tanpa disangka-sangka, dia terhempas di atas bas ke-13. Palizbanian disahkan maut serta-merta, disebabkan impak yang begitu kuat.

Sumber: New Zealand Herald, LA Times, Independent

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *